Senin, 15 Juni 2015

Puisi-puisi Noor Aisah Maidin (Penyair Malaysia)





MUNAJAT JIWA

TanpaNya
segala warna tiada indah
semua tuju tiada makna
segenap buat tiada upaya
seluruh hidup tiada guna

DenganNya
sekecil mana jua, mega jadinya
sehalus apa jua, nyata rupanya
sezarah bagaimana jua, wujud adanya
sekuman di mana jua, benderang hasilnya

JARING

Tika segala pintu tertutup buatmu
bertalu kau ketuk pintuNya berulang panjang
doa dan harap dikau terobos paksakan
walau dari sedemikian kecil liang
pada tiap saat pembaringan
atau dalam laju jalanmu
mengisi keperluan hidup
pintamu sepanjang siang
hatta
dalam mimpimu jua
Lalu kau bertanya
mengapa Yang Maha Mendengar
tiada menyahut pintamu
tiada sebutir isyarat
jangankan cahaya petunjuk
untuk lolos daripada rimba gelap mencemaskan

Siapakah dikau
tika emas rezeki mencurah dari langit takdir
memberimu sejuk dingin di dalam kamar kerja
kereta berjenama siaga mengikut perintah hendak ke
mana
Bukankah telunjukmu sungguh berbisa
tiap arah, menyanggah pasti kau usir
hukummu, dia penganggur berjenama senarai hitam
dan
sedang bibik yang kelu bicara
terpinga menyambut pulang dini harimu berbau segala
nista dosa
laung muazin, mimpimu berbunga-bunga
entah bila anakmu di meja sarapan
keluar mencari ilmu di dada
kau masih memeluk bantal lena
berenak-enak dibelai jemari pura tadi malam

Di mana dikau dalam letak timbang tara
buat mempersoal keadilanNya
atau
padamu, terbelikah ampun magfirahNya
di sempit nyawamu kini
berimbang segala dusta angan bikinan nafsumu
yang merantai puluhan tahun jumlahnya?

Siapakah dikau buat mempersoalkannya.

Tiada suatu pun
Tiada apa pun
selain untukNya dan hanya Dia
... demi wujudku,
hambaNya

BUAH CINTA BENARKAH?

Mengapa mesti ada perantara makbul cinta kasih
bening tulus
bukankah hanya Siti Hawa mengisi ruang dada Adam
meruntun damba kasih
bertatih dan berlari  di Jabal Rahmah
membawa wangian kuntum kasih
di belantara tandus
hanya mereka

Nestapa
mengapa menjadi uji
bagai tiada surutnya telingkah dan pencil sayat luka
hingga terpinggir
mencari sungging bahagia
di mana hanyut teluk buana mendebur sisanya!

Walang berulang-ulang
bersipongang di dinding-dinding lohong tanya
mengapa tiada jua sekacip jawapan
selain amarah dan dendam membara
pada khilaf di jajaran masa
bersama ungkit dan bangkit
kritik dan herdik
menancap-nancap di lantai lara
dengan kesumba bagai tikar menghampar masa
dan tawa dia bagai serigala malam
siaga mencekup mangsa
mengecaikan daing-daging
buat santapannya
siang atau malam
dia hanya menunggu masa

Wahai sang kekasih
kalut wajahmu pasi tiada darah
wangian arjunaku
bermusim-musim lalu kupuja
kusayangi
kusanjungi
hanya tinggal bantal bersulam air mata
daku tidak berdaya!

ii
Ini telapak tanganku
yang menerima segala kurangmu
menjadi kelebihanku

Tiadakah pudar warnanya
menjadi tumpu luruh jiwamu
pada olakan masa
yang terlalu lama
aku telah lupa
pedih luka tangan ini

Tapak tangan ini
yang bergarit luka
pisau dan serai
telah meramaikan dapur
membesarkan anak-anak kita
Saudara-saudaraku
Saudara-saudaramu
air tangan ini
sebanding tiada!
Kemana luruh bunyi pujimu
tiada kudengar lagi.

Pun tangan ini
mengikat lukamu
tika
pada libas tajamnya masa
kita harungi jua
tanpa kain pembalut
hanya selendangku
tiadakah manis buat kau kenang?

Tangan ini
padanya pena menari-nari
membenih juta kata
buat mereka
dan mereka mengamatinya
sebagai kristal penghias meja solek
atau kuntum di meja makan
ataukah bagai sutera
di safrah bahagia
sesekali menjadi sapu tangan
mengelap nestapa rasa
tiadakah dikau terkesiama membacanya?

Tangan ini
yang memberi
dan terus menginfakkan tulus hati
mengangkat pandang mereka
bahawa dikau punya aku
yang tak perlu diajari mengasihani
tiadakah terngadah dikau
dihantuk benar kata?

Aku bertanya lagi
tiada apa-apakah tangan ini
pernah mendoakan selamatmu berpulang ke pangkuan
dan
mengapa jatuh pujimu
pada tangan yang baru secuil memberimu air seteguk penghilang dahaga?



NOOR AISAH MAIDIN
Masjid Bandaraya Kota Kinabalu
28042014: 1744

KULIT

Sekalian selirat darah dan daging
yang memegang tulang hayatmu
dirajahkan
lapisan demi lapisan kulit
dicontengi warna-warna tanah
lalu kau bawa ia ke tengah samudera
padang datar
atau pergunungan
tiada jua ia lelah
selain kian hilang daya pada hukum masa

Pernahkah sekali kauucap syukur pada khidmat gratisnya?

BIODATA NOOR AISAH MAIDIN
Noor Aisah Maidin dilahirkan di bandar raya Kota Kinabalu semasa bandar raya tersebut dikenali sebagai Jesselton. Mendapat pendidikan awal di SRK Kelanahan Papar kemudian melanjutkan pelajaran hingga tingkatan 6 di Melaka. Kelulusan Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu daripada Universiti Putra Malaysia ini kini menjadi guru Bahasa Melayu, Pendidikan Seni Visual dan Kesusasteraan Melayu. Beliau pernah berkhidmat sebagai juruhebah radio RTM Kota Kinabalu selama 7 tahun mulai tahun 1984. Dalam bidang penulisan, beliau mula menulis pada tahun 1982 dengan cerpen pertamanya tersiar dalam akhbar Mingguan Wanita. Kemudian beliau menulis sajak, pantun dan madah untuk dimuatkan dalam akhbar dan majalah termasuk untuk siaran radio. Beliau juga telah menghasilkan puluhan skrip drama radio di samping telah melakonkan ratusan drama radio. Beliau beberapa kali memenangi pertandingan penulisan puisi Islam dan cerpen Islam. Karya beliau termuat dalam antologi bersama pelatih Maktab Perguruan Gaya Kota Kinabalu berjodol “Pemberian”. Mutahkir dalam penghasilan antologi “MH370”. Beliau juga mengetuai penghasilan rakaman suara cakera padat antologi puisi 7 penyair wanita Sabah bertajuk “Sekudup Rindu” pada tahun 2014. Kini beliau sering diundang menjadi pengacara majlis rasmi, mendendang syair dan gurindam selain mendeklamasi sajak. Beliau juga diberi kepercayaan menghakimi pertandingan seni dan sastera termasuk syair, pantun dan nyanyian.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar