Rabu, 01 Juli 2015

PUISI-PUISI BINTANG KARTIKA (MALAYSIA)



GELANDANGAN CILIK

tatapan mata itu, senyap
lekuk bibir itu, datar kering kewalahan
tersisa garis wajah tak jelas
menanyakan sesuatu yang hampa
tidak kepada sesiapa.
 berkeringat kaki, berkerak daki
debu telinga pekak
raungan dan rungut melangkah
tanpa tujuan
bermimpi menjaring angin-angin mimpi.
di malam lelah
bertafakur di kolong langit
merentet di lorong hari kamu di sana
di antara mereka
terhimpit oleh sesaknya pepijat derita
terlupakan dan terbuang
dik,
teruskanlah nafasmu
meski demi rasa hiba.

november 2014

YA HUSSEIN
Kunukilkan kisah Hussein Ahli Kisa’ Nabi ibunya Fatimah mati luka terhiris, duka hati ayahnya Ali syahid ketika solat, ditikam belati abangnya Hassan syahid diracun tirani Hassan pertahankan ayahnya dari dicaci ketika algojo berpesta di kolong Bani Umaiyyah kini Hussein sendirian luka ayahanda dan kasih datuknya disobek, dicabik

Aduhai kekasih Zahra, Putera Nabiku ketika Umar bin Sa’ad mengepung, ribuan ummah yang bersolawat kepada datuk dan ahlul baitnya ketika tahiyyat, kini telah menggerogotinya Hussein tersepit tak berdaya dihujani ribuan panah

Kini panah beracun menembus leher leher yang sering dikucup datuknya tombak bercabang telah membelah dada Hussein terpelanting dari kuda tersungkur terbentur-lentur langit terpana, awan berhenti menyaksi pedih karbala pecah menangis darah

Ya Hussein pewaris risalah Nabiku kini putera Ummu Abiha sendirian menjadi tontonan, diludahi, dicemuhi Hussein bangkit terhuyung-hayang menggenggam lemah pedang di tangan tubuh menggeletar menahan upaya pandangan kabur lalu tersungkur jatuh terjerembab, tergeletak ummat datukmu bersorak-sorai terbahak seperti Iblis ketika berjaya menipu Adam

Duh! Hussein kekasih Nabiku Syimir Dzil Jausan mendekati dan dada suci itu diduduki dengan rakus merentap, menjambak janggut, memusing kepala kerana pedang Syimir tidak upaya menembusi leher yang sering dikecup Nabi itu lalu belakang leher mulia itu dicantas dan perlahan-lahan memotong nadinya

Husein merintih menahan sakit mulutnya sedikit terbuka memanggil ayahnya memanggil ibunya, memanggil datuknya Syimir merenggut rambut kesayangan Nabi itu menjinjit kepala Hussein dari tubuhnya darah mengucur seperti derasnya hujan ketika Nabi bersujud di malam Qadr mata bercahaya itu terbuka menitiskan air lara

Wahai, wahai Hussein tercinta Nabiku tubuh yang sering dicium Rasul Allah putera syurga kesayangan Siddiqah Kubra kini tergeletak tak dimandikan tak disolati.

1 Muharam 1436


Biodata Penulis
Bintang Kartika atau nama sebenarnya Kameelia Kameel dari Malaysia, seorang fashion designer yang meminati dunia penulisan. Selain puisi turut meminati cerpen dan novel. Karyanya pernah termuat di beberapa koran dan majalah di Malaysia. Puisinya turut termuat dalam antologi bersama GKLN, Aku Kalis Peluru, Tanah Tanpa Peta, dan sekarang sedang menyiapkan Aku Kalis Peluru II. Puisinya juga turut termuat dalam antologi beberapa group puisi Indonesia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar