Jumat, 24 Juni 2016

Puisi-puisi Hasyuda Abadi (Malaysia)

Hasyuda Abadi
K U T U N D U K
Kutundukkan kemahakerdilanku
dari keserbaagungan
dari segala kemahaluasan
dari segala kemahabesaran
dari segala kemahabenaran
dari segala kemahabaqaan Tuhan.
Kutundukkan kemahafanaanku
dari segala angkuh dari segala bisik
dari segala alah dari segala helah
dari segala puja dari segala pura
dari segala haloba dari segala punca murba dunia.
Kutundukkan sifat-sifat kemahaalpaanku
menjadi patuh membangun salam khusyuk
menerawangi rahsia-rahsia cahaya iltizam diam
menghambai cemati cinta benar
istiqamah menyeberangi samudera Qalamullah.
Kutundukkan segala indera memandang
tiada selain dari putih kebenaran cahaya istighfar
kutundukkan kalbuku di lembah uzlah
kutundukkan qiamku di sukma tarbiah
kutundukkan titikku pada titikNya..

Hasyuda Abadi
pintu malamku diketuk
sedar dari belukar sukar

bangkit saat itu
dan membuka tabir cahaya.

mendengar suara: Musa telah 
diselamatkan Allah dari angkuh Firaun.

berulang datang
di gegendang dengar.

aku memandang ke dalam lipatan peristiwa.
Sepuluh Muharam:
Musa, firaun dan
bani Israil dan cahaya yang benar.

Beaufort-Sabah
Hasyuda Abadi

Izin-Mu jua membuat kutiba
menyahut lambaian ziarah
dengan khuduk mengakrab salam
Rasul Junjungan

Menjadiku lebih cinta
mekar dalami sujud memuji syukur
cair segala diam lebih qiam
tatkala lebih hampir hadir zahir

Taman-taman syurga
kudamba hadirnya di hari muka
menghakis segala dosa
pintu khusyuk mengagungi-Mu
Allahuakbar!

Masjid Nabawi,
Madinah.
25/5/2009

Biodata Penulis

Mula menceburkan diri dalam aktiviti persuratan pada 1979. Cenderung kepada penulisan puisi di samping cerpen, esei kritikan dan drama. Hasyuda antara penerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre puisi pada tahun 1986, Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi genre puisi pada 2008 dan Hadiah Sastera Sabah bagi genre puisi dan cerpen. pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012 dan 2014.
Hasyuda merupakan penerima Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah pada tahun 2008, pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan Cinta'. Hasyuda pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair dan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan melalui Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997 di bawah pimpinan Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail. Hasyuda juga pernah mewakili Malaysia sebagai perserta Kuala Lumpur Poetry Reading pada tahun 2000, Korean-Asean Poetry and Literature Festival Ke-2 (KPLF2) yang berlangsung di Pekanbaru, Riau pada 2011 dan Perhimpunan Sastra Budaya Serumpun (PSBS) pada tahun 2013 di Aie Angek, Tanah Rata, Sumatera Barat, Baca Puisi Dunia NUMERA pada 21-22 Mac 2014 di Kuala Lumpur serta Program Temu Sastera Indonesia-Malaysia di Bandung, Indonesia pada 18-22 September 2015. Skrip drama pentas Hasyuda berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah utama dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun 1995. Pencapaian Hasyuda dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera (1999 dan 2004), Hadiah Karya Sulung (2002) dan Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Islam (2011). Hasyuda berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM) telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi, 50 buah cerpen, 200 buah esei sastera dan 18 buah skrip drama pentas dan drama radio. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS, 1997), 'Menginai Badai' (DBP, 2004), 'Sirna Sirna' (DBP, 2006), 'Kembali di Lahad Rahsia' (IRIS, 2008) dan ‘Pintu yang Terbuka’ (ITBM, 2014). Cerpen-cerpen Hasyuda pula dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (INPES, 2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda juga diusahakannya dalam 'Usul Mengenal Asal' (IPS, 2014). Merupakan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) sejak 1998, ahli Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS), Ahli Seumur Hidup Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan menjadi Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar